Isteri : “Excitednya bulan depan dah dapat kunci ! Abang, ayang terfikir nak buat macam ni lah (tunjuk gambar dalam facebook). Yang kita tengok haritu. Cantik kann..”
Suami : “Eh ayang ni, takkan nak match gitu2 je. Ni kan rumah first kita. Kenalah hias elok2. Tapi tulah, abang pun tak tahu nak mula macam mana.. Mmm..”
9 Cara Cek Defect Rumah Baru & Apa Perlu Buat Selepas Dapat Kunci Rumah
Iya betul kata suami puan tu. Macam mana puan plan untuk beli rumah baru, macam tu jugaklah puan perlu plan perjalanan sebaik sahaja dapat kunci rumah. Ini adalah perkongsian buat mereka yang bakal menduduki rumah baru. Semoga ia berguna dan manfaat buat anda semua. Lakukan 9 perkara ini sebaik sahaja dapat kunci rumah daripada pemaju.
1. Lakukan inspection di sekeliling rumah
Biasanya pihak pemaju akan menanggung sebarang kerosakan rumah dalam masa 24 bulan/ 2 tahun selepas terima kunci dan tanda tangan surat terima kunci. Jadi, sebaik sahaja dapat kunci rumah, jangan excited sangat ambil gambar dan berselfie dengan kunci rumah. Tapi apa yang paling penting anda perlu buat adalah cari sebarang kerosakan dan cacat cela pada rumah tidak kira dinding, pintu, cermin tingkap dan sebagainya. Jangan alirkan duit anda untuk membaiki rumah, sedangkan ianya adalah salah pemaju.
Contoh kerosakan seperti, rekahan pada simen plaster dinding, cat tidak sekata ada yang tertinggal finishing, lantai pecah terutamanya dapur dan bilik air, pintu melengkung, siling tidak sekata, tingkap tidak boleh buka atau ketat ataupun berkarat, atap bocor, tangki air bocor dan sebagainya.
Semasa lakukan inspection rumah anda, pastikan anda bawa 4 peralatan penting ini.
- Masking tape: Lekat dan tandakan pada defect
- Marker pen: Tuliskan jenis defect pada masking tape
- Kertas A4/Buku Nota: Senaraikan defect berserta lokasi supaya mudah utk cari.
- Kamera/Telefon bimbit berkamera: Ambil gambar defect sebagai bukti.
2. Periksa semua pintu
Buka dan tutup pintu berkali-kali. Kunci pintu daripada dalam dan cuba buka dengan menggunakan kunci, terutamanya pintu masuk rumah, pintu belakang dan pintu setiap bilik. Pastikan ianya berfungsi dengan baik.
3. Periksa dan kenal pasti tiles yang lompong
Tiles yang lompong adalah tiles yang kosong tiada simen di dalamnya. Ketuk setiap satu tiles yang ada. Tiles selalunya dipasang di dapur dan bilik air rumah. Tandakan tiles yang kosong dengan tandaan X.
4. Hidupkan suis utama elektrik, periksa setiap satu suis
Pastikan setiap suis lampu, kipas, penghawa dingin, soket sama ada setiap suis dapat berfungsi dengan baik. Jangan lupa tutup semula suis utama ketika keluar daripada rumah.
5. Periksa meter air dan pili air rumah.
Pastikan meter air berfungsi dengan baik dan tiada tanda-tanda paip bocor. Kemudian, periksa setiap saluran air, sinki, tandas dan lain-lain utk pastikan tiada saluran yang tersumbat.
6. Tingkap, tangga dan sliding door
Buka dan tutup tingkap/sliding door anda beberapa kali. Pastikan tingkap dan dan pintu dapat dibuka dan tutup dengan sempurna. Cuba goyangkan pemegang tangga utk pastikan ianya kukuh dan tiada rekahan di bahagian bawah pemegang tangga.
7. Defect dinding
Periksa setiap dinding rumah sama ada terdapat tanda atau kesan keretakan, tidak rata, pecah dan sebagainya. Jika ada, tandakan dan ambil gambar sebagai bukti.
8. Kunci setiap pintu dan tingkap rumah
Selepas anda lakukan inspection sekitar rumah. Pastikan sebelum balik, kunci semua pintu dan pastikan tingkap rumah di tutup dengan sempurna supaya dapat mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya kes kecurian kabel dan harta benda lain. Hal ini kerana selepas pemilik rumah menerima kunci, pemaju tidak akan bertanggunggjawab sekiranya berlakunya kecurian disebabkan oleh kecuaian pemilik rumah.
9. Pilih kontraktor yang bertauliah
Setelah anda lakukan inspection dan memastikan setiap defect sudah pun dibaiki oleh pihak pemaju. Kini tibalah masanya untuk memilih kontraktor yang bertauliah untuk ubah suai rumah dan menghias rumah idaman anda. Jangan hentam kromo je tau. Takut nanti, dah keluar duit berpuluh ribu dan rumah dah nak siap pun, tapi hasilnya sangat tidak memuaskan hati. Kata orang biar bayar lebih asalkan boleh senyum sampai telinga… Jangan pula biar bergaya asalkan papa.